Saiz Teks
Malay Arabic Chinese (Simplified) English

Alternative flash content

Requirements

27 Nov, 2014

Elak Masalah Kekurangan Air

Oleh SAFINA RAMLI

empangan

ALOR SETAR 19 November - Projek Jeniang Transfer yang melibatkan pembinaan terusan pemindah, terusan penghantar dan empangan Nauk akan dilaksana bagi mengelak Kedah mengalami masalah kekurangan air yang kritikal melibatkan pesawah dan rakyat negeri ini menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob berkata, projek itu yang bernilai RM222.3 juta dan melibatkan tanah seluas 1,545 hektar adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan negeri ini daripada menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

"Memang jika dilihat kita ada banyak air tetapi mengikut kajian sumber air untuk mengairi sawah padi serta untuk bekalan air bagi rakyat Kedah ini tidak akan mencukupi memandangkan Kedah juga merupakan sumber air untuk semua pihak.

"Kita merupakan pembekal air untuk Perlis dan Pulau Pinang, kita kena lihat yang mana penting, bekalan air untuk dua juta rakyat atau kepentingan 1,000 keluarga di kawasan yang akan dibangunkan projek Jeniang Transfer ini.

"Kita telah usahakan kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA) dan sekarang menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat mengenai pampasan yang akan diberikan kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terlibat dengan pembinaan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13.

Dalam pada itu, Suraya ketika ditemui di luar sidang DUN berkata, masalah utama yang dihadapi negeri Kedah ialah ketiadaan kawasan takungan air yang besar jika musim hujan melanda.

"Kita ada empat empangan iaitu empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris tetapi hanya tiga sahaja yang digunakan untuk keperluan rakyat Kedah sepenuhnya.

"Air daripada empangan Beris disalurkan sepenuhnya untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang, katalah kita ada hampir dua juta penduduk, 10,000 hektar sawah padi untuk diairi dan kita memang tidak ada jalan lain selain untuk usahakan bina empangan baharu," katanya.

Sumber: Utusan